Thursday, June 14, 2012

Zaid gugur syuhada sebagai panglima



JAAFAR bin Abi Thalib adalah orang paling rapat dengan Rasulullah SAW dari segi hubungan keluarga, sebagai anak saudaranya sendiri.

Keberanian dan ketangkasannya tidak diragukan lagi. Kebangsawanan dan kehebatannya begitu juga, namun dia hanya sebagai orang kedua selepas Zaid iaitu sebagai panglima pengganti, sedangkan Zaid diangkat sebagai panglima pertama pasukan.

Begitulah contoh dan teladan diperlihatkan Rasulullah SAW dalam mengukuhkan sesuatu prinsip.

Islam sebagai agama baru mengikis habis segala hubungan lapuk yang didasarkan pada darah dan keturunan atau yang ditegakkan atas batil, menggantikannya dengan hubungan baru dipimpin hidayah Ilahi yang berpokok pada hakikat kemanusiaan.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW seolah-olah mengetahui secara ghaib berhubung pertempuran yang akan berlaku.



Baginda mengatur dan menetapkan susunan panglimanya dengan tertib berturutan: Zaid, lalu Jaafar, kemudiannya Abi Rawahah.

Ternyata ketiga-tiga mereka menemui Tuhannya sebagai syuhada sesuai dengan urutan itu pula.

Apabila kaum Muslimin melihat tentera Romawi yang jumlahnya menurut taksiran tidak kurang daripada 200,000 orang, suatu jumlah yang tidak mereka duga sama sekali, mereka terkejut.

Namun, benarkah pertempuran didasari iman perlu mempertimbangkan jumlah itu?

Ketika itulah, mereka maju tanpa gentar, tidak mempedulikan dan menghiraukan ramainya musuh.

Di hadapan sekali kelihatan dengan tangkasnya memacu kuda, panglima mereka Zaid, sambil memegang teguh panji Rasulullah SAW, dia maju menyerbu seperti taufan, di celah desingan anak panah, hujung tombak dan pedang musuh.

Mereka bukan hanya mencari kemenangan, tetapi lebih daripada itu mencari apa yang dijanjikan Allah iaitu tempat pembaringan di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan harta orang Mukmin dengan syurga sebagai imbalannya." (Surah at-Taubah, ayat 111)

Zaid tidak sempat melihat pasir Balqa', malah tidak pula keadaan bala tentera Romawi, tetapi dia langsung melihat keindahan taman syurga dengan dedaunannya yang hijau berombak laksana kibaran bendera, yang memberitakan kepadanya, bahawa itulah hari istirahat dan kemenangannya.

Dia terjun ke medan perang dengan menerjah, menghayun, membunuh atau dibunuh. Tetapi, dia tidak memisahkan kepala musuhnya, dia hanya membuka pintu dan menembus dinding yang menghalanginya ke kampung kedamaian, syurga yang kekal di sisi Allah.

Dia menemui tempat berehat yang akhir.

Rohnya yang melayang dalam perjalanannya ke syurga tersenyum bangga melihat jasadnya yang tidak berbungkus sutera dewangga hanya berbalut darah suci yang mengalir ke jalan Allah.

Senyumannya semakin melebar dan tenang penuh nikmat, kerana melihat panglima yang kedua Jaafar memecut laju ke hadapan laksana anak panah yang terlepas dari busurnya menyambar panji yang dibawanya sebelum jatuh ke tanah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UNTUK TEMPAHAN BARANGAN BOLEH REPLY SHOUTBOX @ COMMENT atau skype -(buzz-lee)@ hubungi bazli(0139970107)...Sebarang Pertanyaan tentang produk yang disediakan boleh adukan dalam blog ini.