Monday, May 30, 2011

Tingkatan Akhlak Islamiah



Tingkatan akhlak islamiyah mempunyai empat tingkatan iaitu Iman,Islam,Takwa dan Ehsan. Semuanya tersusun secara tertib di mana islam akan hanya terhasil daripada iman yang mantap dan begitulah seterusnya. Selagimana tingkat pertama ini belum lagi mantap,maka adalah mustahil untuk dibina tingkat kedua, ketiga dan seterusnya. Kalaulah Iman itu difahami secara sempit dan terbatas, maka Islam, Takwa dan Ehsan pun akan menjadi sempit. Lebih malang apabila ada yang berpandangan bahawa ketakwaan
mereka akan sampai ke darjat yang tinggi dengan hanya memperbaiki penampilan berpakaian mereka, cara duduk mereka, berdiri,makan, minum dan sebagainya. Kemudian dapat pula meraih darjat ehsan yang tinggi dengan hanya melakukan beberapa amalan sunat.Akan tetapi bila dinilai iman dan Islam meraka ternyata masih terlalu rapuh. Selagi mana kesilapan seperti ini berlaku, maka harapan untuk mencapai kejayaan dalam menyempurnaan akhlak Islamiah akan gagal.


1. Iman

Merupakan asas kehidupan Islam. Ia adalah akuan terhadap tauhid iaitu meng'Esa'kan Allah dan juga risalah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Bila kedua-duanya itu diterima, maka sempurnalah syarat untuk melayakkan seseorang itu digelar sebagai Mukmin. Persoalannya apakah akuan seperti ini memadai untuk dijadikan asas bagi membina kehidupan Islam seterusnya membina tingkatan lainnya? Atau iman yang bagaimanakah dapat membina kehidupan Islam yang kukuh? Kehidupan Islam yang sempuma hanya dapat dibina apabila iman itu benar-benar syumul dan mantap. Sebagai contoh keimanan kepada Allah.
Semakin sempit persepsi mereka, maka semakin terbatas acuan kehidupan Islam seperti akhlak mereka. Malah kadangkala berlaku pertentangan sehingga mereka sanggup mencampuradukan antara ketaatan kepada Allah dengan ketaatan kepada taghut ataupun mencampuradukan antara jahiliyah dengan Islam sehingga membentuk satu acuan baru bagi memenuhi segala keinginan mereka! Dari sudut kemantapannya pula berbeza mengikut manusia; ada yang kedekut untuk menyumbang sesuatu ke arah memartabatkan lagi islam walaupun dia mengaku beriman. Malah ada yang memberi kecintaan kepada yang selain dari Allah. Pendek kata kehidupan Islam itu tidak akan sempuma tanpa sokongan iqrar(akuan) tauhid yang syumul.

2. Islam

Merupakan binaan kedua akhlak Islamiah. Dan hubungannya dengan Iman adalah umpama benih dengan pokok; di mana pokok akan mengikut apa yang ada pada benih. Sebarang kekurangan pada benih akan memberi kesan kepada pokok yang bakal tumbuh. Malah pokok itu sendiri tidak akan tumbuh jika ia tidak ditanam ataupun ditanam pada tanah yang gersang dan tidak subur. Begitulah juga dengan iman. Apabila ada
iman, maka sudah tentu ia akan terserlah pada segala tindak tanduk manusia. Jika didapati ada kekurangan atau kecacatan (bercanggahan dengan Islam) pada mana-mana tindak-tanduknya itu, maka ketahuilah ada kecacatan pada Imannya.Di dalam Al Quran dijelaskan betapa intimnya hubungan antara iman (kepercayaan) dan Islam (amal ). Bahkan ganjaran pahala pun hanya dijanjikan untuk hambaNya yang benar-benar beriman dan melakukan amalan soleh. Selagi ketundukan seseorang itu masih tidak sempurna dan usahanya hanya tertumpu kepada yang bukan fi Sabilillah, maka ketahuilah bahawa imannya masih lemah dan agak mustahil untuk membina takwa dan ehsan sekalipun kita cuba melindungi dengan cara perlakuan atau cara berpakaian.

3. Takwa

Takwa adalah perasaan yang lahir dari rasa takut dan tunduk kepada Allah yang tercerna dalam setiap perilaku manusia. Hatinya sentiasa digenangi rasa takut kepada Allah dan tunduk kepadaNya. Dia menyedari bahawa kehidupan di dunia adalah ujian baginya. Apabila hidupnya diasaskan kepada perasaan-perasaan ini, maka nilai agamaannya akan semakin terserlah,hatinya akan sentiasa tersentak setiap kali menyanggahi kehendak Allah dan yang lebih utama dirinya akan sentiasa dimuhasabah. Tidak sekadar itu malah dirinya akan sentiasa berwaspada dari segala perkara yang syubhat apatah lagi yang nyata haramnya. Dia akan sentiasa memaksa dirinya supaya menunaikan arahan dan kewajipan Allah dengan penuh kerelaan. Malah jiwanya sentiasa dibayangi rasa takut yang amat sangat kepada Allah sehingga membuatkan kakinya seolah-olah gementar kerana takut kalau-kalau menyanggahi had batasan syara'.
Bayangkan bentuk kehidupan yang bakal terhasil apabila kesemua nilai ini menguasai kehidupan. Berbeza dengan takwa pada sesetengah orang yang hanya menganggapnya sebagai perlakuan tertentu yang kadangkala agak dibuat-buat Dalam masa yang sama kehidupan mereka, cara berfikir, bekerja dan kesungguhan mereka itu tidak sepadan dengan tuntutan iman yang asas apatah lagi untuk mencapai martabat takwa yang sebenar.

4. Ehsan

Merupakan tingkatan tertinggi dalam Islam. Ia adalah suatu keadaan yang menjadikan seseorang itu menyerah sepenuh hidupnya untuk Islam; hatinya sentiasa berhubungan dengan Allah, cintanya sangat mendalam kepada Rasul jiwanya diselubungi rasa jujur dan sentiasa ingin berkorban. Jika takwa lahir dari perasaan takut kepada Allah seterusnya menjadi pendorong kepada manusia untuk sentiasa menjauhi murkaNya. maka ehsan pula lahir dari rasa cinta kepadaNya sehingga mampu mendorongnya untuk sentiasa memburu RedhaNya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UNTUK TEMPAHAN BARANGAN BOLEH REPLY SHOUTBOX @ COMMENT atau skype -(buzz-lee)@ hubungi bazli(0139970107)...Sebarang Pertanyaan tentang produk yang disediakan boleh adukan dalam blog ini.